Kawalan Kendiri Mampu Atasi Buli Siber - Berita Harian

Date: 
13 September 2017

KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengesyorkan pengguna internet menyekat akaun laman sosial pembuli sebagai langkah mudah menangani gejala buli siber yang berleluasa ketika ini.

Ia antara hasil perbincangan meja bulat bertajuk 'The Ugliness Inside' : Bagaimana Kelakuan Kita Berbeza di Alam Siber yang mengupas lebih lanjut mengenai perkongsian kandungan secara bertanggungjawab, langkah membendung isu itu dan Kod Kandungan.

Pengerusi CMCF, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata pengguna perlu tahu pentingnya kawalan kendiri bagi memastikan mereka tidak dibuli dan juga boleh melindungi orang lain daripada menjadi mangsa.

"Keupayaan masing-masing berbeza, ada yang mampu mempertahankan diri atau tidak ambil peduli sebaliknya ada yang gagal mengawal emosi sehingga menjejaskan kerjaya dan mengalami kemurungan.

"Jika di laman sosial Facebook, pengguna hanya perlu menekan butang 'block user', 'unfriend', 'unfollow' atau lapor kepada pihak berkuasa jika terdapat perkongsian yang mengganggu keselamatan, berbaur fitnah dan hasutan.

"Sikap membiarkan komen negatif, celaan dan tohmahan boleh menjadi budaya yang menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya di sini, hari ini.

Moderator meja bulat, selebriti Nazruddin Habibur Rahman atau Naz memberitahu topik perbincangan meja bulat berkenaan adalah sebahagian inisiatif kesedaran buli siber menerusi kempen CMCF 'Di Sebalik Wajah' yang bakal dilancar pada 19 September nanti.

Meja bulat berkenaan turut dihadiri Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Vimala Balakrishnan, Pakar Pelindung Kanak-kanak UNICEF, Phenny Kakama, Setiausaha Kehormat CMCF, Mediha Mahmood dan dua selebriti tanah air iaitu Altimet dan Caprice.

Vimala turut berkongsi hasil kajian terbaharunya pada tahun ini yang mendapati sebanyak 70 peratus daripada 399 responden menyaksikan kejadian buli siber tetapi tidak berbuat apa-apa.

Manakala 44 peratus daripadanya responden yang berusia antara 17 hingga 36 tahun itu mengakui sudah dibuli siber dan 35 peratus mengakui menjadi pembuli.