Pusat Internet 1Malaysia, Menghubungkan Komuniti Luar Bandar

LUNDU. 27 Feb – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah dijemput oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengadakan pameran di Majlis Pelancaran Komuniti Pintar Lundu di Perkarangan Inap Desa Haji Bujang, Kg. Pandan, Lundu, Sarawak pada hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Haji Len Talif Salleh yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Adenan Satem. Tujuan penubuhan Pusat Internet 1Malaysia Kg. Pandan Lundu adalah untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi komuniti di kawasan terbabit.

Pihak CMCF telah mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan kepada penduduk setempat tentang konsep kawalan kendiri terutamanya di dalam penghasilan dan penggunaan kandungan di dalam rangkaian medium elektronik. Usaha yang telah dilakukan oleh CMCF itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung yang hadir.

Turut dilancarkan pada majlis berkenaan adalah Program Sukarelawan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Malaysia atau MIV di bawah seliaan MCMC. Ia dijangka akan memberikan manfaat kepada penduduk luar bandar untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi dan lain-lain kemudahan yang berkaitan dengan ICT.